<PANTUN KETIBAAN>
Sirih junjung berhias indah
Sekacip pinang pembuka kata
Bunga manggar kilau bercahaya
Datang berkunjung ke majlis meriah
Sejarah terukir nilai permata
Lembaran sejarah kini bermula
Hadirin sekalian, bersama-sama kita memberi tumpuan di pintu masuk utama dewan yang serba indah ini ketibaan pasangan pengantin dengan diiringi keluarga rombongan.
<SELAWAT TASLIM SEMASA DI PINTU GERBANG>
Berjalan masuk ke dewan, menuju ke pelamin yang tersergam indah di hadapan, pasangan pengantin yang cantik lagi menawan, yang segak juga rupawan, pasangan Raja Sehari;
NAMA PENGANTIN LELAKI bersama pilihan hatinya NAMA PENGANTIN PEREMPUAN
<PENGANTIN BERJALAN KE PELAMIN DIIRINGI LAGU PILIHAN>
<PENGANTIN DUDUK DI PELAMIN>
Melayang serindit di atas permatang
Merbah berkicau di hujung muara
Pemanis kata selamat datang
Awal Bismillah pembuka bicara
Bismillahir Rahmanir Rahim, Assalamu `Alaikum W.B.T.
Allah swt berfirman di dalam surah Ar-Rum ayat 21, maksudnya :
Dan di antara membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi tanda-tanda orang-orang yang berfikir.
Pijat meniti di sarang kerengga
Anak murai saja berlari
Hajat hati sekalian keluarga
Hendak merai raja sehari
Yang dihormati Dato’-dato’, Datin-datin, tuan-tuan, puan-puan serta hadirin sekalian, bagi pihak keluarga TUAN ........ dan Puan ........... (NAMA TUAN RUMAH / IBU AYAH PENGANTIN), saya ingin mengalu-alukan kehadiran semua tetamu jemputan pada hari ini, teruatama keluarga rombongan yang diketuai oleh Encik ........ dan Puan ........ (KETUA ROMBONGAN / IBU AYAH PENGANTIN) Sesungguhnya kehadiran para tetamu sekalian amatlah bermakna dan dapat menyerikan majlis kita pada hari ini.
Burung Nuri hinggap di balai
Balai seri buatan Pak Tua
Tempat berehat rakan dan taulan
Duduk tersenyum kedua mempelai
Menadah tangan memanjatkan doa
Moga jodoh sentiasa berkekalan
Dengan itu, bagi memohon majlis ini diberkati dan dirahmati Allah, marilah sama-sama kita menadah tangan mengaminkan bacaan doa yang akan dipimpin oleh NAMA PEMBACA DOA.
<BACAAN DOA>
Terima kasih diucapkan atas bacaan doa sebentar tadi.
Hadirin sekalian, pasangan pengantin baru yang diraikan pada hari ini NAMA PENGANTIN telah mula berkenalan sejak ..................... (CERITA SEJARAH PERKENALAN). Seterusnya apabila hati telah semakin terpaut dengan ketulusan peribadi masing-masing, pasangan ini telahpun mengikat tali pertunangan pada ...... (TARIKH PERTUNANGAN). Dan seterusnya pasangan ini disatukan dalam ikatan pernikahan yag dituntut oleh agama pada ...... (TARIKH PERNIKAHAN).
Hari ini (TARIKH MAJLIS BERLANGSUNG), bertempat di (TEMPAT MAJLIS BERLANGSUNG) ini, akan menjadi saksi detik-detik bersejarah pasangan mempelai ini, kerana mereka akan diraikan oleh sekalian keluarga dan sahabat handai. Semoga ianya akan menjadi ingatan dan kenangan yang terindah untuk dibawa hingga ke anak cucu hendaknya.
Berdua bersama mencari renda
Dapatlah satu di Inderagiri
Doa restu daripada ahli keluarga
Agar masjid dibina kekal berdiri
Baiklah, kita teruskan majlis dengan acara menepung tawar/ merenjis air mawar/ salam restu.
Dengan itu, saya menjemput:
·IKUT SENARAI NAMA KELUARGA ROMBONGAN
·IKUT SENARAI NAMA KELUARGA TUAN RUMAH
Anak teruna mengail patin
Mengail patin di tepi titi
Senyum terukir pasangan pengantin
Tanda gembira penuh di hati
Demikianlah tadi, acara menepung tawar/ merenjis air mawar/ salam restu bagi memeriahkan majlis persandingan pasangan dua sejoli yang segak dan cantik di singgahsana.
Majlis diteruskan dengan acara kemuncak kita pada hari ini iaitu majlis makan beradab. Dengan rasa hormatnya, saya menjemput pasangan pengantin NAMA PENGANTIN dan ahli keluarga untuk bersama-sama ke meja yang disediakan bagi menikmati hidangan.
Semerbak bunga seroja
Dibelai dara pingitan
Lauk pauk penuh semeja
Jemput mempelai menikmati hidangan
Bagi hadirin/hadirat yang dirahmati sekalian, janganlah malu janganlah segan untuk sama–sama menikmati juadah enak yang disediakan.
<JAMUAN MAKAN>
Hadirin yang dimuliakan, agenda majlis diteruskan ke berikutnya iaitu memotong kek. Dipersilakan kedua mempelai, NAMA PENGANTIN berangkat ke sudut kiri / hadapan pelamin.
<PENGANTIN MEMOTONG KEK>
<SEMASA PENGANTIN MEMOTONG KEK BACA TEKS DI BAWAH>
Sesungguhnya manusia itu sememangnya memerlukan kepada cinta. Kerana cinta itu, menjadikan hidup manusia lebih bermakna, bahagia dan sempurna apatah lagi melalui ikatan perkahwinan yang dituntut agama.
Tiup serunai di atas kota
Uda memupuk bunga melati
Mula kenal kemudian bercinta
Cinta tersemai di dalam hati
Inilah yang dikatakan
umpama belayar telah sampai di pelabuhan
Umpama berkayuh telah sampai di muara
Umpama berjalan telah sampai ke destinasinya
<PENGANTIN SELESAI MEMOTONG KEK>
Majlis diteruskan lagi dengan acara selanjutnya iaitu sesi fotografi pasangan mempelai di atas pelamin. Dipersilakan kepada pasangan NAMA PENGANTIN mempelai untuk kembali ke singgahsana.
Majlis dengan ini menjemput dan mempersilakan keluarga rombongan terlebih dahulu untuk bergambar bersama pengantin di atas pelamin.
<SESI BERGAMBAR KELUARGA ROMBONGAN>
Seterusnya dijemput pula keluarga tuan rumah untuk bersama-sama pengantin di atas pelamin untuk acara bergambar kenang-kenangan.
<SESI BERGAMBAR TUAN RUMAH>
Majlis diteruskan dengan sesi bergambar bersama saudara-mara dan sahabat-handai yang turut hadir ke majlis ini. Dipersilakan.
<SESI BERGAMBAR BERSAMA PARA TETAMU>
<BACA TEKS DI BAWAH JIKA TIADA YANG NAK BERGAMBAR DI PELAMIN>
Baiklah, dijemput pasangan mempelai kita yang diraikan pada hari ini untuk ke ruang bawah ini bagi beramah mesra dengan tetamu yang hadir.
<PENGANTIN BERAMAH MESRA DENGAN TETAMU>
<PENGHUJUNG MAJLIS BUAT PENUTUP>
Tiada untaian kata yang mampu dilafazkan selain ungkapan rasa syukur dan ucapan terima kasih yang tulus ikhlas daripada Raja Sehari NAMA PENGANTIN dan ahli keluarga buat semua, atas kesudian hadir dan memeriahkan majlis kita pada hari yang penuh keberkatan ini.
Pergi ke dusun memetik kelapa
Kelapa muda si kelapa barli
Jari disusun maaf dipinta
Panjang usia bersua kembali
Mohon maaf atas segala kekurangan semasa mengacarakan Majlis ini. Berjumpa kita lagi pada masa yang akan datang. Saya mengucapkan salam hormat buat semua, Wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum WBT.
Untuk tempahan dan pertanyaan tarikh, sila hubungi kami menerusi whatsapp 011-62099363:
Terima kasih.❤️ Emcee Adam Yang Ensem ❤️
0 Ulasan