Setiap
manusia Allah ciptakan hidup berpasangan dan saling melengkapi antara
satu sama lain. Lelaki dan perempuan merupakan makhluk Allah yang sangat
unik. Lelaki secara fizikalnya berbentuk gagah dan kuat. Sifat inilah
yang menjadi pelindung kepada perempuan. Perempuan pula fizikalnya lebih
lemah berbanding lelaki. Sebab itulah Allah campakkan sifat lemah
lembut dan penyayang kepada perempuan sesuai dengan nalurinya. Allah
menjadikan mereka adalah untuk mencukupi antara satu sama lain.
Firman Allah taala:
“Dan
yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa), dan daripada
kedua-duanya Allah mengembang biakkan lelaki dan perempuan yang ramai.”
(Surah An nisa, ayat 5)
Perkahwinan
merupakan antara satu tingkat kitaran hidup seseorang. Apabila mencapai
umur tertentu atau tiba masa tertentu, setiap manusia yang sifatnya
normal memerlukan teman untuk terus hidup berkongsi perasaan, naluri,
suka, duka dan pelbagai perasaan lagi. Tujuan perkahwinan itu sendiri
adalah sebenarnya berbentuk umum. Tetapi pernahkah kita tahu apa tujuan
perkahwinan yang sebenar menurut agama islam? Pada artikel kali ini,
kami akan berkongsi beberapa tujuan perkahwinan yang telah dinyatakan
oleh islam.
Fitrah manusia normal.
Lelaki
menyukai perempuan dan perempuan menyukai lelaki merupakan satu
perasaan yang bersifat fitrah, maksudnya semulajadi. Ia menjadi tidak
fitrah jika lelaki menyukai seorang lelaki atau perempuan menyukai
seorang perempuan kerana ia bertentangan dengan naluri asal seorang
lelaki atau wanita. Jadi untuk menghubungkan antara lelaki dan
perempuan, maka Allah swt. menetapkan perkahwinan untuk menghalalkan
hubungan tersebut.
Sunnah Rasulullah dan rasul sebelumnya.
Perkahwinan
juga menjadi amalan nabi dan rasul terdahulu. Sebagaimana nabi kita,
Muhammad saw, baginda tetap berkahwin dan baginda merupakan contoh
teladan yang terbaik buat umat manusia. Jadi sesiapa yang berkahwin,
maka ia telah mengikut salah satu sunnah rasul.
Rasulullah bersabda
dalam satu hadis yang riwayat oleh al Baihaqi daripada abu hurairah yang
bermaksud;
“Sesiapa yang suka kepada fitrahku, maka hendaklah dia melakukan sunnahku. Sebahagian daripada sunnahku adalah nikah”.
Melindungi diri dan memelihara daripada keruntuhan akhlak.
Antara
tujuan perkahwinan yang lain adalah ia melindungi diri kita dan
memelihara kita daripada keruntuhan akhlak dan moral. Lihat sahaja cara
hidup golongan daripada negara barat. Berapa banyak kerosakan yang
berlaku dalam kalangan remaja mereka yang hidup bebas dan tiada
mempunyai ikatan sebagai suami isteri. Mereka bertukar pasangan apabila
bosan dengan pasangan yang lama. Tiada rasa tanggungjawab antara lelaki
dan perempuan kerana mereka tiada ikatan yang sah. Hal ini akan
merosakkan agama dan bangsa mereka sendiri.
Perkongsian hidup.
Apabila
berkahwin seorang lelaki dan perempuan, ia juga bermaksud berkongsi
segala-gala. Susah, senang, perasaan suka dan duka serta segala-gala
kehidupan kita dengan pasangan kita. Di dalam hidup sebagai suami atau
isteri, pasti akan ada halangan yang bakal ditempuhi. Jadi bila
berpasangan, ia akan menjadikan kita lebih kuat, dengan syarat mesti ada
perasaan bertolak ansur dan rasa bertanggungjawab dalam perhubungan.
Saling melengkapi antara satu sama lain. Percayalah, perkahwinan kita
akan menjadi sesuatu yang menyeronokkan dan bahagia jika kita pandai
menguruskannya.
Sebagai ibadah dalam meramaikan ummat islam.
Perkahwinan
itu juga merupakan salah satu ibadah jika kita melakukannya dengan niat
yang betul kerana Allah, dan kita akan dibalas dengan pahala oleh
Allah. Dengan perkahwinan, secara tidak langsung kita akan meramaikan
umat nabi muhammad dan pengikut islam itu sendiri. Islam akan menjadi
bertambah kuat dan lebih berkualiti jika kita berjaya mendidik keturunan
kita untuk memahami islam yang sebenar. Bertambahnya zuriat, menjadi
tanggungjawab ibu bapa membimbing anak-anak mereka untuk menjadi umat
islam yang berkualiti dan memberi sumbangan kepada agama islam.
Sebagai
kesimpulannya, perkahwinan merupakan sebahagian daripada tuntutan agama
dan fitrah normal sebagai seorang manusia. Jika kita mampu, maka
segeralah berkahwin. InsyaAllah, pasti kita akan merasai hikmah dan
nikmat perkahwinan tersebut.
0 Ulasan